Berita Baik Untuk Hantu Blogger,Facebook Dan kaki Download



HSBB bakal manfaatkan pengguna Internet di Lembah Klang bermula bulan ini
2010/03/15
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia adalah antara pengguna Yahoo!, Friendster, Facebook dan blog terbesar di Asia, pasti mendapat manfaat daripada pelbagai aplikasi definisi tinggi selepas pelancaran jalur lebar kelajuan tinggi (HSBB) di Lembah Klang, bermula bulan ini.
Pelaksanaannya membabitkan 27 kawasan di Lembah Klang akan dilengkapkan dengan HSBB dalam tempoh dua tahun.
Antara kawasan yang akan terbabit dalam pelancaran awalnya adalah Bangsar, Taman Tun Dr Ismail, Shah Alam dan Subang Jaya, iaitu dianggap sebagai kawasan dengan penggunaan Internet tertinggi di negara ini. Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Khalid Ramli, berkata HSBB yang akan dilancarkan Telekom Malaysia dijangka mempunyai kelajuan lebih 10 megabit sesaat (Mbps).

“Walaupun kelajuan 2Mbps sedia ada masih membolehkan pengguna melayari Internet dan menggunakan kemudahan seperti e-mel dan rangkaian perkongsian video, YouTube; lebar jalur yang lebih besar akan membolehkan mereka dapat menonton televisyen menerusi aplikasi IPTV and HDTV.

“Malah, akses bagi pendidikan lanjutan menerusi dalam talian, pasca produksi multimedia dan e-kesihatan, dapat dinikmati.

“Menjelang 2011, seluruh Lembah Klang akan mendapat liputan HSBB, termasuk Bandar Tun Razak, Sungai Besi, Gombak dan Kajang,” katanya pada taklimat media mengenai dasar Pelaksanaan Jalur Lebar Nasional (NBI).
Khalid berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijadualkan melancarkan NBI pada 24 Mac.

Beliau berkata, HSBB akan diperluaskan ke Kepong, Batu, Wangsa Maju, Segambut, Damansara, Titiwangsa, Cheras dan Seputeh, Kuala Lumpur; Petaling Jaya, Serdang, Puchong, Putrajaya, Cyberjaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Klang, Selayang dan Ampang pada penghujung 2010.

Khalid berkata, di bawah NBI, kerajaan berharap dapat mencapai penembusan jalur lebar isi rumah sebanyak 50 peratus menjelang akhir 2010 yang boleh membawa kepada sumbangan satu peratus kepada KDNK negara dan 135,000 pekerjaan baharu tahun ini.

Pada Mac tahun ini, langganan jalur lebar isi rumah berada pada 33.2 peratus.

Khalid berkata, terdapat potensi besar bagi penembusan jalur lebar di Malaysia, dengan menyebut 7.4 juta langganan 3G selular dan 2.78 juta langganan jalur lebar di negara ini.

Kaji selidik menunjukkan, rakyat Malaysia adalah pengguna Yahoo! nombor satu di Asia, nombor tiga bagi rangkaian sosial Friendster, keempat terbesar dari segi peserta blog dan ke-19 bagi Facebook. - Bernama

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Trafik