Pakej jalur lebar untuk pelajar IPT

TELEKOM Malaysia Berhad (TM) melancarkan pakej jalur lebar terkini yang dikhususkan untuk mahasiswa tahun pertama atau kedua menerusi produk Streamyx Cool UNI Pack.Pakej terbabit menawarkan pelajar produk dua dalam satu merangkumi akses jalur lebar secara percuma dan netbook dengan bayaran RM50 sebulan selama dua tahun.

Streamyx Cool UNI Pack itu dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini sempena Pelancaran Digital Pekan 1Malaysia.Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Zamzamzairani Mohd Isa, berkata pakej Streamyx Cool UNI Pack yang ditawarkan untuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) itu merangkumi pakej jalur lebar, netbook dan modem tanpa wayar dan akaun Streamyx Zone.

"Bukan itu saja, pelajar boleh memindah turun 50 lagu sebulan selama 12 bulan dari laman web muzik TM iaitu HyppTunes," katanya.Malah, pelajar juga diberi diskaun sebanyak 50 peratus dari kadar langganan untuk yuran bulan pertama dan dikecualikan daripada yuran pengaktifan berjumlah RM75 serta yuran pemasangan berharga RM88.

"Bagaimanapun, sekiranya pelajar memerlukan lebar jalur yang lebih tinggi, mereka boleh memilih pakej dengan kelajuan tinggi bermula dari 512Kbps hingga 4Mbps dengan tambahan penambahan yuran minimum dari hanya RM15 sebulan," katanya.Menurut Zamzamzairani, TM menyedari keperluan pelajar mendapatkan akses Internet untuk keperluan pembelajaran namun terikat dengan bajet yang ketat.

"Pakej jalur lebar dan komputer yang baru dan mampu dimiliki ini disasarkan bagi meningkatkan kadar penembusan jalur lebar sejajar dengan agenda nasional untuk mencecah 50 peratus dari seisi rumah pada akhir 2010," kata Zamzamzairani. TM kini mempunyai lebih 2,000 lokasi Streamyx Zon di seluruh negara meliputi kawasan awam di bandar utama seperti pusat beli-belah, restoran, lapangan terbang, hotel, kampus universiti, hospital, kelab golf, pusat konvensyen dan lokasi lain.

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Trafik